Sila download
Demi Masa
Utamakan Solat

Cetusan Hati
Undi Pandangan

Pandangan Anda Terhadap Blog Ini
Perlu Diperbaiki
Membosankan
Menarik
Tidak Lawah
Amat Menarik
< input type=submit value=Undi>  
Terima Kasih Daun Keladi
Sensiviti Muslim
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Halwa Mata
Sains, Matematik dalam BI: Kajian Unesco tidak dipeduli
Wednesday, November 29, 2006
Sains, Matematik dalam BI: Kajian Unesco tidak dipeduli PDF
Fri | Nov 24, 06 | 12:47:03 PM
Oleh LanH

Pertukaran bahasa bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, yang diilhamkan oleh Perdana Menteri ketika itu (2003), Dr Mahathir Mohamad, dilaksanakan tanpa sebarang kajian perintis (pilot study) atau perbincangan.

Sehubungan itu, ia dikhuatiri akan menuju kegagalan sekalipun ada pihak mendakwa negarawan yang memperkenalkannya mempunyai prihatin iklas berhubung kemerosotan mutu bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia.

Selepas hampir empat tahun dilaksanakan, rakyat dan pemimpin Malaysia masih kabur mengenainya. Bayangkan di Parlimen baru-baru ini seorang wakil rakyat BN bertanya apakah kemerosotan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan baru-baru ini disebabkan oleh penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Wakil rakyat tidak buat 'homework'

Jelas sekali wakil rakyat ini tidak membuat 'homework'nya. Dia seolah-olah tidak meneliti perkembangan semasa sebelum melontarkan pertanyaannya kepada Menteri Pelajaran atau wakilnya. Dia juga hampir pasti tidak mempunyai anak di sekolah rendah, jika tidak masakan dia bertanyakan soalan itu. Jika dia ada anak di sekolah rendah, dikhuatiri dia tidak mengambil tahu perkembangan anak-anak di sekolah rendah.

Sebenarnya UPSR tahun ini tiada kaitan langsung dengan pelaksanaan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. UPSR tahun ini (dari segi penggunaan bahasa) adalah sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Jadi soalan wakil rakyat BN itu tidak relevan sama sekali.

Timbalan Menteri Pelajaran, Noh Omar, yang menjawab soalan itu berkata kemerosotan mutu UPSR tahun ini tidak ada kaitan dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Ini kerana murid Tahun Enam yang mengambil ujian itu masih mengikuti mata pelajaran itu dalam bahasa Melayu dan bahasa ibunda di sekolah Cina dan Tamil.

Kumpulan murid pertama yang akan menduduki UPSR membabitkan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Inggeris kini berada dalam Tahun Empat. Tahun depan (2007) mereka akan berada dalam Tahun Lima dan pada UPSR tahun 2008-lah mereka akan menduduki kedua-dua subjek itu dalam bahasa Inggeris.

Jika wakil rakyat BN itu membuat 'homework'nya, mungkin dia tidak akan bertanyakan soalan itu. Seorang guru atau bapa yang prihatin tentulah tahu bahawa subjek bahasa Inggeris diperkenalkan pada tahun 2003 kepada murid-murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu.

Jadi kumpulan pertama dari sekolah rendah akan menduduki UPSR dengan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris pada tahun 2008 manakala kumpulan pertama sekolah menengah menduduki PMR dengan subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tahun lalu (2005).

Kumpulan pertama di sekolah menengah itulah yang kini menghempas pula belajar bukan saja subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tetapi juga subjek berkaitan seperti Matematik Tambahan, Fizik, Biologi dan Kimia.

Berdasarkan artikel, surat pembaca dan laporan akhbar, sejumlah orang yang tidak peka tentang perkara ini turut mengulas isu Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ini. Contohnya pada 24 November, dalam sepucuk surat pembaca dalam Berita Harian dengan tajuk 'Usah pertikai kepentingan bahasa Inggeris', penulisnya antara mencatatkan: "Walaupun penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik kini hangat diperkatakan, ia lebih menjurus kepada kemerosotan mata pelajaran berkenaan dan pencapaian murid yang menduduki UPSR tahun ini."

SMI bermula dengan murid Tahun Dua, Tingkatan Dua?

Rencana tulisan Ku Seman Ku Hussain dalam Mingguan Malaysia pada 12 November 2006 dengan tajuk 'Jangan separuh jalan' lebih teruk apabila beliau antara lain menulis: "Dasar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (SMI) diperkenalkan tahun 2003, bermula dengan murid tahun dua bagi sekolah rendah serta tingkatan dua dan enam bagi sekolah menengah dan matrikulasi."

Bagaimana Ku Seman mendapat maklumat ini tidaklah diketahui. Hakikatnya SMI bermula pada tahun 2003 membabitkan murid-murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu. Kalau fakta yang penting ini pun salah, bagaimana Ku Seman dapat berhujah dengan meyakinkan dalam rencananya itu.

Pada 'intro'nya beliau menulis: "Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan dasar pengajaran SMI dikekal seperti dirancang. Eloklah selepas tidak ada pihak yang cuba membangkitkan isu dasar SMI yang pernah dipersetujui sebelum ini.

Persoalannya siapa persetujui perkara ini? Seperti dinyatakan sebelum ini, ia adalah idea perdana menteri yang kini tidak lagi berkuasa. Banyak pihak menentangnya tetapi kebanyakannya tidak disiarkan akhbar berbahasa Melayu. Yang disiarkan ialah persetujuan pak turut dan kaki ampu pemimpin politik Umno, yang kini mulai sedar seperti yang dibuktikan melalui resolusi Umno Johor.

Berbanding rencana dan surat pembaca yang kurang kritis yang disiarkan akhbar berbahasa Melayu, pandangan pembaca bukan Melayu dalam akhbar bahasa Inggeris lebih rasional dan kritis.

Kajian Unesco

Dalam surat kepada pengarang di akhbar the Star, bertarikh 14 November 2006, penulisnya K Arumugam dari Petaling Jaya antara lain menulis: "After three years of implementation, questions are being raised if the language switch has been effective. There are now calls for the move to be reviewed.

"Everyone is free to discuss the issue. But one must comment with honesty and substantiate any argument with some base findings.

"WE ARE TALKING ABOUT OUR CHILDREN AND THE FUTURE GENERATIONS OF OUR COUNTRY. IT IS CERTAINLY NOT AN ARENA FOR POLITICAL MILEAGE AND PATRONAGE.

"Three years is too short to determine the full impact of the switch in primary schools. On the other hand, if we wait to realize the full impact of the move, it may be too late to remedy the situation.

"It will be a sad case of missed opportunities and a costly waste in HUMAN CAPITAL (modal insan?) and material. Unesco's findings include a comprehensive research review carried out for the World Bank in 1997.

"The most important conclusion drawn from this research says: "...when learning is a goal, including that of learning a second language, the child's first language (i.e. his or her mother tongue) should be used as the medium of instruction in the early years of schooling.

"The first language is essential for the initial teaching of reading, and for comprehension of subject matter. It is the necessary foundation for the cognitive development upon which acquisition of the second language is based.

"Unesco quotes from 'Education for All: Policy Lessons From High-Achieving Countries (Staff Working Papers, New York, Unicef': "In a situation where the parents are illiterate...if the medium of instruction in school is a language that is not spoken at home the problems of learning in the environment characterized by poverty are compounded, and the chances of drop-out increase correspondingly."

Penulis K Arumugam mengemukakan hujahnya berdasarkan kajian Unesco, tetapi adalah amat malang sekali pemimpin negara dan kuncu-kuncunya termasuk penulis Melayu membuat sesuatu tindakan tanpa sebarang kajian. Selepas itu ia disokong bulat-bulat tanpa sebarang rujukan.

Kementerian Pelajaran melalui Menterinya, Hishammuddin Hussein selepas diasak oleh cendekiawan Melayu dan Umno Johor, berkata dasar SMI mungkin akan dikaji selepas kumpulan pertama pelajar UPSR menduduki peperiksaan itu pada 2008.

Tahun 2008? Ohh, tidak tahulah penulis betapa lambatnya Melayu bertindak. Jika prestasi bagus, dasar akan diteruskan; jika tidak, akan berpatah balik? Ohh, alangkah malangnya Melayu, hasil kajian Unesco sudah ada di depan mata tidak dipedulikan tetapi pemimpin Melayu bertindak berdasarkan rasa syok sendiri.

Kepilan artikel sebelum ini

Kembalikan penggunaan bahasa Melayu dalam Sains, Matematik

Sebagai seorang bapa yang mempunyai beberapa anak di sekolah rendah dan menengah, penulis begitu prihatin dengan prestasi mereka terutama apabila mata pelajaran Sains dan Matematik mula diajar dalam bahasa Inggeris mulai tahun 2003.

Ketika cuti raya baru-baru ini penulis berpeluang berinteraksi dengan sejumlah guru yang terbabit dalam pengajaran subjek berkenaan dan cabangnya seperti Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan.

Seorang guru Biologi memberitahu daripada tujuh kelas Tingkatan Empat di sekolahnya, hanya sebuah kelas saja yang murid-muridnya berupaya menjawab kertas ujian Biologi dan Sains dalam bahasa Inggeris. Kelas ini menempatkan pelajar-pelajar terbaik. Enam lagi kelas, pelajarnya tidak dapat menjawab langsung.

Ertinya, yang boleh menjawab hanya 1/7 iaitu kurang 15 peratus. Itu yang boleh menjawab, belum lagi yang 'pass' kertas itu. Demikian betapa buruknya senario yang melanda dunia persekolahan anak-anak masa kini.

Guru tergigil-gigil mengajar

Seorang guru lain memberitahu, seorang guru Matematik sekolahnya tergigil-gigil dan menjadi kaku, tidak dapat berkata apa-apa ketika mengajar apabila menyedari sekumpulan pemerhati daripada jabatan pendidikan negeri sedang memantau kelasnya.

Akibatnya dia terpaksa dikaunseling dan dihantar berkursus untuk 'menajamkan' lagi bahasa Inggerisnya yang lintang pukang. Jika guru tidak mahir dalam bahasa Inggeris, bagaimana dia mahu mengajar anak muridnya dengan berkesan.

Seorang lagi guru memberitahu, kebanyakan pelajar yang menduduki peperiksaan awam seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR), memilih menjawab menggunakan bahasa Melayu dalam subjek Sains dan Matematik.

Ketika ini kertas peperiksaan masih menggunakan dwi-bahasa (Inggeris dan Melayu) sebelum bahasa Melayu 'dihapuskan sepenuhnya' dalam tempoh beberapa tahun lagi. Beliau berkata sekalipun menghadapi masalah istilah dan terma (di sekolah subjek berkenaan diajar dalam bahasa Inggeris), kebanyakan pelajar tidak peduli, mereka 'pakai hentam saja', asalkan boleh jawab soalan menggunakan bahasa Melayu.

Anak-anak Melayu makin ramai menuju ke 'longkang'

Masalah guru dan murid-murid yang 'merana' akibat pembelajaran subjek Sains dan Matematik semakin kronik, tetapi anehnya pegawai dan orang politik terus menghebahkan bahawa rancangan Dr Mahathir Mohamad itu mendapat kejayaan cemerlang, gemilang dan terbilang. Apa yang cemerlang itu tidak tahulah, tetapi yang jelas anak-anak Melayu semakin ramai menuju 'ke longkang'.

Apa tidaknya, kata guru Biologi tadi, apabila murid-murid tidak memahami apa yang diajar, mereka jadi bosan. Mereka tidak ada minat untuk belajar dan bagi menghabiskan masa di sekolah, mereka terbabit dalam gejala kurang sihat seperti menjadi samseng, kaki pukul, kaki buli, mat rempit dan kaki rokok.

Beliau terlalu bimbang anak-anak Melayu sekarang semakin parah. Beliau ketawa apabila diberitahu bahawa Timbalan Menteri Pelajaran, Noh Omar, mencadangkan pihak sekolah mendenda, menggantung persekolahan atau membuang pelajar-pelajar yang terbabit dalam aktiviti mat rempit.

Katanya, budak-budak sekarang ini lebih suka jika pihak sekolah menggantung atau membuang mereka daripada sekolah. Perkara ini ketara di kalangan pelajar Tingkatan Tiga, Lima dan Enam Atas.

Selepas mereka mendaftarkan diri untuk menggambil peperiksaan PMR, SPM atau STPM, mereka masih boleh menduduki peperiksaan berkenaan sebagai calon sekolah sekalipun mereka telah digantung persekolahan.

"Akibatnya," kata guru berkenaan, "pada hari peperiksaan, akan muncullah calon-calon yang berpakaian tidak senonoh, berambut panjang dan penampilan yang teruk, duduk di kerusi sebagai calon."

Katanya, jika tidak digantung pun, ramai pelajar tidak lagi hadir ke sekolah terutama pada penghujung tahun ini. Pelik tetapi benar kerana ada yang sudah bekerja, ada yang 'sekejap ada, sekejap tiada', ada yang jika datang ke sekolah pun hanya menyakitkan hati guru dengan mempamerkan gelagat samseng mereka.

Sementara itu, seorang bapa yang ditanya melahirkan rasa kecewanya, kerana anaknya yang kini bersekolah di sebuah sekolah yang kerap melahirkan bilangan ramai pelajar UPSR yang cemerlang sudah mula tidak terbawa subjek Matematik dan Sains.

Menurutnya, sebelum ini anaknya dalam kelas-kelas persendirian, tuisyen serta latih tubi yang diberikan dapat menjawab soalan-soalan subjek berkenaan dengan cemerlang, tetapi apabila dihadapkan dengan versi alih bahasa, semua soalan berkenaan tidak dapat difahaminya.

"Bukan dia tak tahu nak jawab, cuma bahasa dan istilah yang menjadi penghalang. Guru pula kerap mengajar dalam dalam bahasa Melayu dan pihak sekolah tidak mahu mengadakan sebarang kelas tambahan terutamanya dalam meningkatkan mutu penguasaan bahasa Inggeris para pelajar.

"Itu kelas pertama, kelas yang diletakkan harapan oleh sekolah, murid-murid yang memang telah dipilih, macamana pula dengan nasib rakan-rakannya di kelas-kelas yang lain,"jelasnya panjang lebar sambil melahirkan kebimbangan dengan situasi yang berlaku.

PM perlu bertindak segera selamat generasi muda

Guru-guru ini berharap Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi dapat berbuat sesuatu dengan segera bagi menyelamatkan generasi muda, terutama anak-anak Melayu yang hanyut selepas tidak dapat menguasai pembelajaran di sekolah disebabkan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik.

Kata mereka, jika Abdullah 'berani' menyanggah sesetengah tindakan Mahathir, tidak ada sebab beliau tidak dapat berbuat perkara yang sama mengenai bahasa dalam dunia pendidikan, apatah lagi hampir semua pihak termasuk cendekiawan tidak menyetujui langkah drastik penggunaan bahasa Inggeris yang dipaksakan oleh bekas Perdana Menteri itu.

Mahathir sebelum melaksanakan rancangan 'syok sendiri'nya itu tidak pun mengarahkan pakar membuat kajian impirikal, cuma berdasarkan pandangannya mengenai kepentingan penguasaan bahasa Inggeris.

Selain guru, ibu bapa juga berpendapat, Abdullah perlu bertindak segera kerana jika hal ini dibiarkan berlarutan, semakin hanyut dan rugilah anak-anak Melayu. Tidak ada sebab untuk tidak kembali ke pangkal jalan.

Kata mereka, jangan biarkan ego menguasai diri sedangkan anak-anak Melayu semakin tersisih dan tidak mendapat tempat di negara sendiri. Apakah pemimpin Melayu mahu semakin ramai anak-anak Melayu menjadi mat rempit, mat 'fit', mat 'stone' serta kaki buli, kaki botol, kaki ganja dan macam-macam kaki lagi disebabkan mereka tidak berminat dan bosan untuk ke sekolah? tanya mereka.

posted by ibnurashid @ 3:45 AM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
Azharian's Topsite Ukhwah.com :: Top 

Blog BKPJM TOP BLOG
About Me

Name: ibnurashid
Home: Jerantut, Pahang, Malaysia
About Me: anak ke-5 dari 7orang adik beradik...dilahirkan dan dibesarkan pada tanggal 14 feb 1983 di felda sg.retang. mendapat pendidikan bermula dari TADIKA KEMAS, SKSR,SMABKT,MAAHAD SAS,DARUL QURAN JAKIM
See my complete profile
Previous Post
Archives
Islamik Info
Penggerak Ummah
Akhbar
Siasah Tanah Air
Sahabat Penggerak